Oleh Mohd Aizam Mas’ud
MUNGKIN sebahagian umat Islam masih belum sedar bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 25 hingga 27 Julai tahun lalu memutuskan pemikiran Islam liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.
Bagi sesetengah umat Islam di negara ini, fatwa pengharaman Islam liberal kurang diketahui berikutan pengumuman dibuat serentak dengan fatwa pengharaman botox. Tidak dinafikan fatwa botox mendapat publisiti meluas di kalangan media cetak dan elektronik arus perdana.
Tambahan, botox agak sinonim dengan kehidupan golongan artis atau selebriti kegilaan ramai sekali gus menenggelamkan fatwa Islam liberal akibat terkesan dengan populariti isu botox yang hampir mendapat tempat di hati masyarakat.
Apa yang menarik, pengharaman botox oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JKF) mendapat reaksi positif sehingga jarang terdengar pihak yang mempertikai mahupun menolaknya.
Berlainan maklum balas diberikan kepada fatwa pengharaman Islam liberal. Ada suara segelintir umat Islam mempersoalkan kewajarannya atas dasar ia suatu bentuk pemikiran yang tempatnya di dalam kotak akal manusia.
Akal pula adalah sesuatu berbentuk rohani yang tidak boleh ditangkap atau dipenjarakan. Maka, apakah kewajarannya JKF bertindak sedemikian?
Dalam memahami kewajaran fatwa itu, amat tepat jika umat Islam menyorot kembali kemasukan unsur falsafah serta budaya klasik Greek dan Parsi yang pernah berlaku suatu ketika dulu.
Bahananya, idealisme sesat yang dulu terpendam oleh kekuatan zaman keemasan akhirnya muncul dan terus menjalar menembusi pemikiran umat Islam ketika itu.
Antara golongan paling jelas terpengaruh dengan aliran itu adalah puak Muktazilah. Mereka memiliki gagasan pemikiran berteraskan keutamaan akal dan mensekunderkan teks al-Quran dan hadis. Ini ditambah dengan kepesatan ahli falsafah Islam yang mentafsirkan nusus agama mengikut pendekatan akal dan falsafah.
Sebelum itu juga, wujud aliran pemikiran kalam atau teologi Islam yang jelas terpesong daripada manhaj sebenar akidah Islam seperti Khawarij, Murji’ah, Jabariyah, Qadariyah dan Syiah.
Serangan ideologi dan pemikiran sebegini akhirnya melonjakkan sebilangan tokoh ilmuwan Islam pada zaman itu untuk tampil bagi menjelaskan ajaran Islam sebenar.
Lantaran itu lahirlah nama besar seperti Imam Abu Hanifah. Beliau menulis kitab al-Fiqh al-Akbar dan juga risalah al-Bahth `ala al-Istita’ah Ma’a al-Fi’il.Kedua-dua karya berkenaan mengkritik penyelewengan fahaman Qadariyah dalam usaha menyatakan kebenaran ajaran Ahli Sunnah.
Imam Syafie pula menulis sebuah risalah bertajuk Tashih al-Nubuwwah wa al-Radd `ala al-Barahimah dan Risalah al-Radd `ala Ahl al-Ahwa. Daripada tajuk itu jelas menampakkan usaha beliau memperbetulkan dan menolak kebatilan ajaran yang berasaskan Brahminisme dan pengikut hawa nafsu.
Begitu juga Imam Malik bin Anas yang menyertai banyak perdebatan bagi mempertahankan ajaran Ahli Sunah. Antaranya ungkapan beliau mengenai pengertian istiwak (bersemayam).
Imam Malik menjawab: “Istiwak itu dimaklumi, caranya tidak boleh diimaginasi oleh akal, mengimaninya wajib, bertanya mengenainya tidak boleh (bidaah).
Tidak ketinggalan juga Imam Ahmad bin Hanbal menamakan bukunya Risalah Ahli Sunah wa al-Jamaah. Kandungan buku ini jelas menghuraikan akidah Ahli Sunnah Waljamaah dan pada masa sama membicarakan pelbagai golongan yang dianggap menyimpang dan menyeleweng daripada pendekatan pemikiran Ahli Sunnah.
Selain itu, sejarah Islam membuktikan khalifah Islam pernah mengharamkan bahkan bertindak tegas terhadap pembawa fahaman yang menyeleweng daripada akidah Ahli Sunah Waljamaah.
Sebagai contoh, Ma’bad al-Juhani pengasas mazhab Qadariyyah dihukum bunuh
oleh Khalifah Abdul Malik pada tahun 80 hijrah. Pada zaman itu juga, Imam Hassan al-Basri mengeluarkan fatwa menegah orang ramai menghadiri majlis dipimpin Ma’bad al-Juhani sambil menyifatkan dia seorang yang sesat lagi menyesatkan.
Seorang lagi pengikut mazhab Qadariyyah yang dihukum mati ialah Ghailan
al-Dimasyqi pada zaman Khalifah Hisham bin Abdul Malik.
Khalifah Hisham juga menjatuhkan hukuman sama ke atas pembawa mazhab Jabariyyah iaitu Ja’d bin Dirham pada tahun 120 Hijrah. Murid kepada Ja’d bin Dirham, Jaham bin Safwan, juga menerima nasib yang sama apabila dia dijatuhi hukuman bunuh pada zaman Bani Umayyah atas arahan Gabenor Khurasan pada 128 Hijrah.
Pengharaman buku atau kitab, sememangnya tidak berlaku pada zaman awal penulisan atau pengarangan kitab memandangkan ia tidak begitu relevan untuk dilakukan oleh pemerintah. Ini kerana pada zaman itu belum ada sebarang bentuk teknologi percetakan tetapi yang wujud hanya penulisan berbentuk penyalinan dengan tulisan tangan.
Hal ini menyebabkan pengedaran ilmu melalui kitab terhad berbanding penyebaran ilmu melalui majlis menadah kitab (talaqqi). Oleh itu, tidak timbul soal pengharaman buku atau kitab pada zaman Rasulullah SAW, sahabat mahupun pada zaman Khalifah Bani Umayyah dan
Khalifah Bani Abbasiyyah memandangkan tiada keperluan berbuat demikian oleh pemerintah.
Namun pada zaman ini, menjadi suatu kebiasaan bagi institusi agama mempunyai kuasa mengeluarkan arahan pengharaman buku tertentu demi menjaga kesucian pemikiran umat Islam.
Institut Kajian Islam Universiti al-Azhar yang dipimpin Syeikh al-Azhar sendiri banyak kali mengeluarkan keputusan rasmi mengenai pengharaman kitab tertentu yang dilihat membahayakan akidah Islam di samping boleh memecahbelahkan umat Islam.
Hakikatnya, keputusan fatwa pengharaman Islam Liberal oleh JKF adalah lambang kepada fungsi dimainkan kerajaan sebagai pemerintah Islam yang diamanahkan untuk menjalankan amar makruf dan nahi mungkar.
Justeru, semua pihak perlu menerima keputusan yang dibuat oleh kerajaan demi kepentingan akidah masing-masing. Islam adalah agama sempurna dan berlandaskan ajaran yang diturun melalui al-Quran, hadis dan sunnah Rasul. Tidak wujud sama sekali ajaran lain selain yang diwahyukan oleh Allah.
Bagi golongan pemerintah Islam, mereka bertindak berasaskan konsep siyasah syar’iyyah iaitu demi menjamin kesucian agama di samping membangunkan urusan dunia.
Melalui konsep itu, pengharaman pemikiran tertentu adalah satu cara digunakan pemerintah demi menyekat jalan yang boleh merosakkan akidah dan pemikiran umat Islam.
Memang diakui pemikiran adalah hak asasi setiap individu yang berakal dan tidak boleh disentuh atau diusik. Namun bukankah dengan pemikiran lahirnya segala tingkah laku dan amal perbuatan. Jika tidak, masakan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat”.
Oleh kerana itulah Islam sejak awal menolak setiap pemikiran atau niat yang menyeleweng. Umat Islam perlu berwaspada dengan golongan yang memesongkan akidah melalui pelbagai label pada masa ini.
Penulis adalah anggota Panel Penulis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Tuesday, October 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment