Wednesday, October 28, 2009

BAJET SANG KAPITALIS

[SN192] Pada 23hb Oktober lepas, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah membentangkan bajet 2010 di Parlimen. Seperti biasa setiap kali pembentangan bajet, pastinya ada sebahagian yang menyambut baik, sebahagian yang kecewa dan sebahagian lagi yang malas berkata apa-apa. Seperti biasa juga, bagi sesetengah pihak, tidak ada yang istimewanya dengan bajet pada kali ini kerana ia hanyalah merupakan perubahan angka-angka dari bajet-bajet sebelumnya. Namun, bagi Najib sendiri, ia merupakan satu bajet dan satu detik yang penuh makna kerana pertama kali membentangkannya sebagai Perdana Menteri. Bagi para pengampu pula, pembentangan bajet kali ini yang bertemakan “1Malaysia, Kemakmuran Bersama” dianggap tepat kerana ia dikatakan dapat membantu meringankan beban rakyat menghadapi tekanan akibat kejatuhan ekonomi dunia ketika ini. Telah menjadi lumrah bagi setiap Perdana Menteri Malaysia untuk meletakkan ‘tema’ di dalam pembentangan bajet mereka, dan tema yang dipilih tentunya tema yang dapat memikat hati rakyat. Ini penting kerana ‘isi’ bajet telah pun memihak kepada pemerintah, justeru ‘tema’nya hendaklah memihak kepada rakyat.
Rakyat mesti terus digula-gulakan dan hasil negara hendaklah diberi sedikit kepada rakyat agar rakyat bisa ditutup mulutnya. Manakala hasil selebihnya dikaut kroni-kroni Kapitalis. Untuk tahun 2009, hasil kerajaan persekutuan dianggarkan berjumlah sebanyak RM162,100 juta dan 63.1% daripadanya adalah melalui kutipan cukai, yang merupakan jumlah yang tertinggi [UM 25/10/09]. Dari manakah datangnya jumlah cukai yang ratusan juta jumlahnya ini jika bukan dari duit kita semua yang dihisap darah dan keringatnya oleh pemerintah?

Sautun Nahdhah kali ini bukanlah ingin membincangkan pro dan kontra yang terhasil dari bajet 2010 ini, tetapi kami ingin membincangkan isu bajet ini dari sudut pandangan Islam dengan menjelaskan perbezaannya dengan bajet Kapitalis di bawah sistem demokrasi. Sejak sistem demokrasi kufur mendominasi umat Islam dari tanggal runtuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), ditambah dengan kemunduran berfikir umat terhadap Islam, kaum Muslimin sudah tidak lagi memandang pembentangan bajet dari perspektif Islam. Malah, ramai yang langsung tidak tahu atau tidak dapat mengaitkannya dengan Islam, seolah-olah Islam tidak pernah menyentuh hal ini dan ia dibiarkan kepada kebijaksanaan manusia untuk menguruskannya. Umat Islam seolah-olah sudah lupa bahawa Daulah Khilafah dahulu menaungi dunia dengan pengurusan ekonomi yang cukup hebat. Siapa tidak tahu akan kehebatan Saidina Umar al-Khattab dan Umar Abdul Aziz dalam mengurus ekonomi negara? Siapa tidak tahu kekayaan melimpah ruah Daulah Khilafah semasa kekhilafahan Abbasiyyah dan Uthmaniyyah? Dari manakah datangnya kejayaan hebat ini jika bukan diwarisi dari pengurusan ekonomi yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, yang mengurus ekonomi berdasarkan pengaturan yang turun dari tujuh petala langit? Sesungguhnya umat Islam telah lupa bahawa di dalam Islam terdapat sistem ekonominya yang tersendiri yang datangnya dari wahyu. Kealpaan ini berlaku kerana umat Islam sudah dirasuk oleh sistem demokrasi yang dibawa Barat yang menjadikan Parlimen sebagai sebuah tempat suci untuk manusia membuat hukum! Maka umat Islam sudah tidak lagi dapat berfikir akan persoalan, apakah di dalam Negara Islam terdapat pembentangan bajet sebagaimana Negara Demokrasi yang mesti diluluskan oleh majoriti manusia. Apakah para Khalifah dan Rasulullah SAW pernah membentangkan bajet negara untuk diluluskan secara majoriti?

Perlukah Pembentangan Belanjawan Negara?

Negara yang menganut demokrasi biasanya membentangkan bajet negara setiap tahun. Secara fakta, bajet dalam negara demokrasi dibentangkan di Parlimen dalam rangka untuk menjadikannya satu undang-undang untuk tahun-tahun tertentu. Di Malaysia, ia dikenali sebagai Rang Undang-undang Perbekalan (2010). Parlimen kemudian akan meluluskan rang undang-undang ini setelah ia didebatkan dari setiap aspek, termasuklah dari aspek pembahagian jumlah peruntukannya satu per satu. Setiap bahagian sebenarnya merupakan bajet yang tak terpisah di antara satu sama lain dan ia diundi (untuk diluluskan) secara keseluruhan, bukannya satu demi satu. Oleh itu, Parlimen berhak menolaknya secara keseluruhan walaupun ia (ahli-ahli Parlimen) mempunyai hak untuk memperdebatkan itemnya dan jumlahnya satu per satu.

Rang undang-undang bajet biasanya terdiri dari beberapa fasal di mana setiap satunya digubal untuk menunjukkan berapakah jumlah wang yang telah diperuntukkan (atau diasingkan) untuk perbelanjaan negara pada tahun kewangan yang akan datang. Ada fasal yang digubal yang mengasingkan perbelanjaan (expenses) sesetengah institusi dan fasal lain pula dibuat untuk menganggar hasil/pendapatan (revenues) sesetengah institusi. Terdapat juga sesetengah fasal yang digubal untuk memberi kuasa mandatori kepada Menteri Kewangan dalam beberapa perkara. Di dalam setiap fasal, biasa terdapat rujukan kepada jadual yang mengandungi anggaran hasil dan perbelanjaan setiap item serta jumlah keseluruhan (total) masing-masing. Atas asas inilah penggubalan bajet dilakukan setiap tahun oleh negara penganut demokrasi, dengan beberapa perubahan kecil yang diperkenalkan setiap tahun bergantung kepada kejadian-kejadian yang berlaku dalam negara yang berkenaan.

Sesungguhnya tidak ada konsep ‘pembentangan’ bajet tahunan di dalam Daulah Islam. Ini kerana, tidak ada ‘undang-undang’ yang perlu dibuat (atau diluluskan dengan suara majoriti) setiap tahun berhubung bajet negara. Bajet negara juga tidak perlu dibentangkan kepada Majlis Ummat (Majlis Syura) dan pendapat mereka juga tidak perlu diminta. Dalam sebuah negara demokrasi, persoalan bajet dengan segala rinciannya adalah satu perkara (yang mesti dijadikan) undang-undang. Ia perlu dijadikan undang-undang pada setiap tahun. Undang-undang dalam sistem demokrasi pula perlu digubal di Parlimen. Kerana itulah, bajet mestilah ‘dibentangkan’ (sebagaimana rang undang-undang lainnya) di Parlimen bagi mendapatkan kelulusan. Daulah Islam tidak memerlukan ini semua! Perbendaharaan dalam Daulah Khilafah wajib diatur berdasarkan hukum syarak yang diistinbat (digali) dari Al-Quran dan Sunnah, dan wajib dibelanjakan, juga berdasarkan hukum syarak yang ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah. Kesemua ini merupakan hukum syarak yang bersifat tetap dan manusia tidak dibenarkan mengatur sumber pendapatan dan perbelanjaan negara mengikut akal-akal mereka. Setiap kategori dalam bajet adalah bersifat ‘tetap’ kerana telah ditetapkan oleh syarak.

Inilah kedudukan tentang bajet secara syarie-nya. Adapun tentang jumlah wang (amount) untuk setiap kategori, hal ini dikembalikan kepada pendapat dan ijtihad Khalifah selaku Ketua Negara. Ini kerana hal ini termasuk dalam masalah ri’ayah asy-sy’un (pengaturan urusan) negara yang mana syarak telah letakkan di bahu Khalifah untuk membuat keputusan yang beliau fikir terbaik, dan ketetapan Khalifah dalam hal ini adalah bersifat mengikat dan wajib dilaksanakan.

Amat jelas bahawa Islam tidak mengenal persoalan pembentangan bajet tahunan sebagaimana dalam sistem demokrasi sekarang, tidak kiralah dari aspek apa sekalipun. Justeru, langsung tidak timbul persoalan ‘penggubalan/pembentangan undang-undang’ dalam Daulah Khilafah kerana Khalifah adalah terikat dengan hukum syarak yang bersifat tetap di dalam mengatur pendapatan dan perbelanjaan negara. Khalifah mempunyai hak untuk menentukan jumlah peruntukan di dalam setiap kategori, dan dia berhak menetapkan berapa jumlahnya sekalipun tanpa terikat dengan batas waktu tertentu. Peruntukan akan dikeluarkan setiap kali rakyat atau negara memerlukannya, apatah lagi jika ia adalah untuk kemaslahatan umat dan dalam rangka meninggikan syiar-syiar Allah.

Bajet Kapitalis vs Bajet Islam

Baik secara umum mahupun secara rincinya, bajet yang dibentangkan oleh kerajaan adalah bertentangan dengan Islam. Ini kerana, hal ini tidak pernah ditunjukkan oleh Rasulullah. Rasulullah SAW bersabda,

“Sesiapa sahaja yang melakukan suatu amalan yang tidak menepati urusan kami maka ia adalah tertolak” [HR Muslim dan Ahmad].

Antara sebab dan nas-nas lain adalah:-

Pertama: Sumber pendapatan terbesar bajet Kapitalis adalah dari cukai atau berasaskan cukai. Padahal, memungut cukai adalah sesuatu yang teramat jelas haramnya. Islam telah menerangkan keharaman cukai dengan tegas di mana Rasulullah SAW bersabda,

“Orang yang memungut cukai tidak akan masuk syurga.” [HR Ahmad, Abu Dawud dan Al-Hakim].

Sabda baginda yang lain,

“Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad].

Baginda juga bersabda,

“Sekiranya kamu menjumpai pemungut ’usyur (cukai yang dipungut di sempadan antara negara Islam dan negara kufur), maka bunuhlah dia” [Musnad, Imam Ahmad bin Hambal].

Justeru, haram bagi negara memungut cukai dari rakyat untuk pendapatan negara.

Kedua: Bajet itu juga tidak membezakan jenis pemilikan yang telah ditetapkan oleh Islam iaitu antara pemilikan individu, pemilikan negara dan pemilikan umum. Oleh itu, adalah haram jika kerajaan mengumpul harta kekayaannya hasil daripada cukai atau hasil dari rampasan milik individu (milkiyyah al-fardiyyah) seperti pelbagai jenis cukai dan bayaran paksaan lainnya. Juga, haram bagi kerajaan mengaut keuntungan dari kekayaan/hak yang berupa milik awam (milkiyyah al-ammah) seperti minyak, gas, galian, air, elektrik, pendidikan, kesihatan dan seumpamanya Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW,

“Harta seseorang Muslim itu tidak dihalalkan (bagi Muslim yang lain), kecuali dengan kerelaan hatinya.”

Baginda juga bersabda,

“Harta setiap orang Islam, kehormatannya dan darahnya diharamkan bagi orang Islam yang lain” [HR Abu Dawud dan Ibnu Majah].

Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi SAW bersabda,

“Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud].

Anas r.a pula meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas r.a tersebut dengan tambahan, “wa tsamanuhu haram” (“dan harganya adalah haram”).

Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda,

“Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api” [HR Ibnu Majah].

Air, padang ragut dan api (tenaga) adalah tiga perkara yang Rasulullah benarkan semua orang berkongsi di dalamnya dan baginda melarang mana-mana orang/pemerintah menghalangi orang lain dari menggunakannya, apatah lagi mengaut keuntungan darinya sepertimana yang dilakukan pemerintah saat ini.

Ketiga: Bajet Kapitalis yang dibentangkan ini juga tidak memasukkan zakat sebagai satu unsur yang sepatutnya dijadikan punca pendapatan Negara, walhal terdapat begitu banyak nas tentang kewajipan memungut zakat untuk diagih-agihkan kepada lapan asnaf. Dan zakat ini adalah salah satu dari pendapatan negara.

Ada pun di dalam Daulah Islam, salah satu struktur dalam pemerintahan Khilafah adalah Baitul Mal. Baitul Mal merupakan sebuah autoriti yang bertanggungjawab terhadap setiap pendapatan dan perbelanjaan negara yang menjadi hak kaum Muslimin. Oleh itu, setiap harta sama ada tanah, bangunan, bahan galian, wang atau barangan apa pun yang mana kaum Muslimin berhak ke atasnya mengikut hukum syarak, maka ia menjadi tanggungjawab Baitul Mal untuk menguruskannya. Baitul Mal berada di bawah pengawalan Khalifah secara langsung atau di bawah kawalan orang yang dilantik Khalifah untuk mengurusinya.. Dalil tentang kewujudan dan peranan Baitul Mal ini sudah cukup masyhur di dalam hadis dan juga Ijmak Sahabat. Dari segi pembahagian struktur Baitul Mal mengikut pendapatan dan perbelanjaan negara (berdasarkan hukum syarak), Baitul Mal dibahagikan kepada dua bahagian:

Pertama: Al-Waradat (Bahagian Kemasukan/Pendapatan) yang mempunyai 3 Diwan/seksyen yang terdiri dari:-

(i) Diwan Fai’ dan Kharaj (meliputi ghanimah, kharaj, jizyah, tanah-tanah, fai’ dan juga dharibah),

(ii) Diwan Pemilikan Umum (meliputi kemasukan/pendapatan dari petroleum, gas, elektrik, galian mineral, laut, sungai, hutan, padang gembalaan, hima dan sebagainya),

(iii) Diwan Zakat (meliputi zakat wang – emas dan perak, perdagangan, pertanian, ternakan dan lain-lain).

Kedua: An-Nafaqat (Bahagian Perbelanjaan) yang terdiri dari 8 Diwan iaitu”

(i) Diwan Dar al-Khilafah
(ii) Diwan Kemaslahatan Negara
(iii) Diwan Subsidi
(iv) Diwan Jihad
(v) Diwan Pengelolaan Zakat
(vi) Diwan Pengelolaan Pemilikan Umum
(vii) Diwan Keperluan Dharurat dan
(viii) Diwan Anggaran, Pengawalan dan Pengawasan Umum.

Sesungguhnya sistem dan hukum Islam tentang bajet jelas berbeza dengan sistem demokrasi. Setiap pendapatan dan perbelanjaan dalam Islam (yang disebut di atas) terdapat nas khusus yang membincangkannya secara terperinci [sila rujuk perbincangan lanjut di dalam kitab Nizamul Iqtisadi Fil Islam, Syeikh Taqiuddin an-Nabhani dan Al-Amwal Fi Daulatil Khilafah, Syeikh Abdul Qadim Zallum]. Namun sayangnya pemerintah kita langsung tidak merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah di dalam menyiapkan suatu bajet. Begitu juga para pembangkang yang tidak pernah mempertikaikan atau memuhasabah pemerintah di Parlimen bahawa bajet yang dibentangkan adalah bercanggah dengan hukum syarak.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sudah puluhan tahun kita menyaksikan, setiap kali bajet dibentangkan oleh Menteri Kewangan, yang biasanya juga adalah Perdana Menteri, setiap kali itulah para pengampu dari kalangan menteri-menteri atau kakitangan atau penyokong kerajaan memuji Perdana Menteri melangit. Media pengampu kerajaan juga sama halnya, memuji dan memuja Perdana Menteri dari hujung rambut sampai hujung kaki dan menghebahkan kepada rakyat bahawa inilah bajet terbaik yang merangkumi semua aspek. Setiap tahun setiap kali bajet dibentangkan, mereka akan mengatakan ‘inilah bajet terbaik...inilah bajet rakyat...’ dan sebagainya. Di sebalik bajet terbaik yang dikatakan untuk rakyat yang dibentangkan saban tahun, hakikatnya, saban tahun juga kita menyaksikan rakyat semakin menderita dan memberontak. Masalah kemiskinan tidak pernah dapat dihapuskan, bahkan ada kalanya semakin meningkat. Buktinya ada di depan mata, malah diakui sendiri oleh kerajaan. Dasar Ekonomi Baru contohnya diakui oleh kerajaan tidak pernah mencapai matlamat, bahkan masih terlalu jauh dari sasaran walaupun sudah berpuluh tahun dilaksanakan. Rakyat yang berpendapatan rendah masih menjadi golongan teramai, malah ada yang masih tidak terpenuhi keperluan asas mereka. Berita mengenai kemudahan awam yang terabai oleh kerajaan yang menjejaskan keselesaan hidup rakyat sering dipaparkan di media elektronik dan media cetak. Berita mengenai kemiskinan dan penderitaan rakyat juga sering tersiar. Aneh! Sungguh aneh! Saban tahun Perdana Menteri membentangkan bajet yang dikatakan ‘untuk rakyat’, hakikatnya rakyat tetap menderita dan sengsara, dan yang semakin kaya raya adalah golongan penguasa dan golongan Kapitalis raksasa. Justeru, salahkah kalau kita mengatakan bahawa bajet yang dibentangkan setiap tahun bukanlah bajet untuk rakyat tetapi bajet yang dibentangkan oleh sang Kapitalis, dari Kapitalis untuk Kapitalis?

No comments: