Monday, November 9, 2009

TOL DALAM ISLAM

Realiti Tol

Sebelum kita membincangkan lebih lanjut tentang hukum-hakam yang berkait dengan isu tol ini, perlu difahami dahulu apakah ‘status’ tol itu sendiri. Adakah tol ini sekadar kutipan wang, atau merupakan harga kepada perkhidmatan, atau umpama harga barang dagangan ataupun satu bentuk cukai yang dikenakan kepada rakyat? Jika diteliti dengan pemikiran yang sederhana sekalipun, setiap orang akan tahu bahawa tol adalah satu bentuk cukai yang dikenakan kepada pengguna lebuh raya dalam sesebuah negara. Ia bukan harga kepada perkhidmatan sebagaimana ‘bayaran’ kita menaiki teksi atau bas. Ia juga bukan harga barang dagangan untuk disamakan dengan harga bawang atau gula. Ternyata, tol hakikatnya mempunyai ciri-ciri yang sama dengan cukai dan ia adalah bentuk cukai yang dipungut ke atas seseorang yang melalui jalanraya/jambatan. Cuma bezanya, tol ini dikutip oleh individu (syarikat swasta) dan bukannya oleh negara (pemerintah). Apa pun, ia dikutip dengan izin/persetujuan dari negara. Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan konsep tol ini tidak ada bezanya dengan cukai jalan/jambatan yang dikutip oleh kumpulan-kumpulan samseng zaman dahulu kala yang memeras wang daripada orang ramai yang melaluinya.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa syarikat-syarikat swasta tersebut telah mencurahkan modal mereka dalam membangunkan infrastruktur lebuh raya yang ada, maka sewajarnyalah mereka mengenakan bayaran sepertimana seorang pengusaha hotel yang mengenakan bayaran kepada mereka yang menginap di hotelnya. Inilah kesalahan pandangan orang yang tidak memahami hakikat tol. Di sinilah pentingnya umat Islam memahami realiti tol, dan seterusnya merujuk pula kepada dalil-dalil syara’ untuk melihat sama ada cukai jalan yang dipungut oleh ‘samseng jalanan’ ini halal atau haram.

Hukum Syara’ Tentang Kemudahan Awam

Islam telah mewajibkan ke atas negara (pemerintah) agar menyediakan segala bentuk kemudahan awam untuk kemaslahatan rakyat. Jalan raya adalah salah satu darinya. Segala infrastruktur lain seperti sistem pengangkutan, bekalan air, elektrik (sumber tenaga), hospital sekolah dan sebagainya wajib disediakan oleh negara secara percuma untuk setiap warganegara. Negara tidak boleh melarikan diri dari tanggungjawab ini atau mengalihkannya kepada individu atau pihak swasta untuk disempurnakan. Islam berbeza sama sekali dengan sistem Kapitalis yang diamalkan pada hari ini di mana sistem Kapitalis membenarkan mana-mana individu atau pun syarikat swasta untuk menyediakan infrastruktur-infrastruktur asas negara dan mengaut keuntungan darinya. Dalam sistem Islam, pemerintah itu bertugas untuk melayan rakyat dan salah satu bentuk pelayanan terhadap rakyat adalah penyediaan kemudahan-kemudahan asas ini. Perbelanjaan untuk membina dan menguruskannya diambil dari Baitul Mal. Di sinilah Baitul Mal berperanan dalam menguruskan perbelanjaan negara dalam melaksanakan semua kewajipan negara yang diperuntukkan oleh syara’.

Perlu difahami bahawa dengan mengatakan segenap keperluan ini menjadi tanggungjawab negara tidaklah bermaksud negara perlu membina semua kemudahan tersebut dengan sendiri. Negara dibenarkan mengupah syarikat-syarikat swasta untuk membina kemudahan-kemudahan tersebut bagi pihak negara dan mereka berhak untuk mendapat upah membangunkan infrastruktur tersebut. Mereka juga dibenarkan untuk mendapat upah atas kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan. Apa yang tidak dibenarkan oleh syara’ adalah syarikat-syarikat tersebut ‘memiliki’ kemudahan tersebut dan mendapat keuntungan daripada bayaran yang dipungut dari rakyat yang menggunakan kemudahan yang disediakan. Inilah yang salah (sebagaimana di amalkan sekarang). Ini kerana pada asasnya, ia menjadi kewajipan negara untuk menyediakannya dan rakyat telah diberikan hak oleh syara’ ke atas kemudahan-kemudahan untuk dinikmati secara percuma. Pemberian hak kepada syarikat swasta untuk ‘memperniagakan’ kemudahan-kemudahan ini adalah satu pencabulan ke atas ketentuan syara’. Tindakan seperti ini tidak ada bezanya dengan seorang bapa yang mengupah seorang tukang rumah membina rumah mereka, lalu mengenakan bayaran kepada anak isterinya selama mana mereka tinggal di rumah tersebut!

Di sinilah umat Islam perlu memahami dan membezakan di antara hak dan kewajipan. Menyediakan kemudahan asas adalah kewajipan/tanggungjawab pemerintah dan menikmati kemudahan tersebut adalah hak rakyat. Apabila disebut kewajipan, maka ia adalah berkait dengan soal hukum syara’ (dan wajib merujuk kepada hukum syara’) dan nas syara’ dalam hal ini menjelaskan bahawa ia wajib disediakan secara percuma oleh orang yang ditaklifkan kewajipan tersebut (pemerintah). Jadi, haram bagi pemerintah memungut apa-apa bayaran di dalam menunaikan kewajipan ini. Ia umpama kewajipan/tanggungjawab seorang bapa untuk menyediakan rumah, makan dan pakai kepada anak isterinya. Haram bagi si bapa (yang ditaklifkan kewajipan tersebut) untuk memberi makan atau membeli baju untuk anak isterinya, kemudian mengenakan bayaran terhadap mereka. Haram juga bagi bapa/suami yang tinggal sebumbung dengan anak dan isteri, kemudian mengenakan bayaran sewa rumah kepada orang yang wajib dipeliharanya. Tempat tinggal dan nafkah adalah hak anak/isteri yang wajib di beri secara percuma. Begitulah haramnya bagi kerajaan membina segala kemudahan asas, kemudian mengenakan bayaran terhadap rakyatnya, walhal itu adalah kewajipan/tanggungjawab kerajaan di dalam melayani orang yang wajib dipeliharanya (rakyatnya) dan bagi rakyat pula, ia adalah hak yang mesti dinikmati secara percuma.

Tol Dari Perspektif Syara’

Adalah teramat jelas di dalam Islam bahawa tugas dan amanah yang diletakkan oleh Allah ke atas bahu pemimpin adalah untuk menjaga/memelihara rakyat. Di dalam sektor kemudahan awam, negara bertugas untuk membina segala infrastruktur dan menyelianya dan tidak boleh sama sekali bagi negara untuk menjadikannya sebagai milik swasta/negara, apatah lagi mengambil untung darinya. Dalam sesebuah pemerintahan yang mengamalkan ideologi Kapitalis (termasuk Malaysia), kerajaan dan kroni kerap menjadi penghisap darah rakyat. Kerajaan dan kroni semakin untung dan kaya raya manakala rakyat semakin menderita dan sengsara. Kerajaan bukan lagi menjadi pemelihara rakyat, namun menjadi pihak yang menzalimi dan menindas rakyat. Ada pun di dalam Islam, hubungan kerajaan dengan rakyat bukan merupakan hubungan pengaut untung sebagaimana antara penjual dan pembeli ataupun hubungan antara pemungut cukai dengan pembayar cukai, apatah lagi hubungan ‘penghisap darah’ dengan mangsanya. Hubungan yang wujud adalah satu ikatan yang mulia yakni hubungan antara pelayan/pemelihara dengan orang yang wajib dilayan/dipelihara. Sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Imam (pemimpin) itu adalah pemelihara, dan dia akan dipertanggungjawabkan dari apa yang dipeliharanya (rakyatnya)” [HR Bukhari].

Pemerintah kaum Muslimin yang zalim dan jahil cuba menjelaskan kepada rakyat bahawa mereka memungut cukai bukan untuk kepentingan mereka tetapi untuk kepentingan rakyat. Alangkah pelik dan naifnya dalih ini! Bukan setakat itu, malah pelbagai dalih lain lagi terus-menerus diberikan untuk ‘mengindahkan’ kezaliman mereka. Mereka berdalih atas alasan pembangunan dan kesejahteraan, mereka berdalih bahawa mereka tidak pernah mengambil untung, ia adalah milik syarikat konsesi. Kerajaan menyatakan bahawa mereka telah banyak memberi subsidi dan menanggung rugi. Persoalannya, jika demikian, kenapakah kerajaan menandatangani satu perjanjian yang nyata-nyata boleh merugikan mereka? Kenapakah kerajaan membuat satu perjanjian yang mereka tahu bahawa ia adalah berat sebelah dan menyengsarakan rakyat? Dalam menandatangani perjanjian tersebut, kepentingan siapakah yang dijaga oleh kerajaan, kepentingan rakyat atau kepentingan para kapitalis yang sudah sememangnya kaya? Lebih buruk, mereka menyatakan bahawa di dalam Islam tidak salah untuk memungut cukai malah dibolehkan untuk tujuan pembangunan dan sebagainya. Nampaknya mereka ini tidak pernah merujuk kepada hukum syara’ di dalam membuat perjanjian, tapi hanya mengikut hawa semata-mata.

Sesungguhnya memungut cukai adalah satu perbuatan yang jelas-jelas haram di sisi Islam dan terdapat banyak nas yang mengharamkannya. Sabda Rasul Sallalahu 'alaihi wa Sallam, “Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai (mukus)” [HR Ahmad, Abu Daud & Hakim]. Rasulullah juga bersabda, “Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad]. Kita mesti ingat bahawa Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam adalah orang yang paling menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, namun tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda memungut cukai atas alasan untuk memperoleh pendapatan negara, untuk kepentingan rakyat, untuk pembangunan negara dan sebagainya. Tidak pernah terjadi bahawa Rasulullah melakukan hal ini, malah yang berlaku adalah sebaliknya, bahawa apabila mendengar sahaja ada pungutan cukai ke atas barangan yang diimport di sempadan, Rasulullah terus melarangnya. Sabda baginda, “Sekiranya kamu mendapati pemungut usyur (cukai yang dipungut di sempadan @ cukai import-export), maka bunuhlah dia” [HR Ahmad]. Begitulah jelasnya nas yang mengharamkan cukai di dalam Islam.

Selain nas haramnya memungut cukai, terdapat nas lain yang menjelaskan bahawa tidak boleh mengambil harta kaum Muslimin tanpa izin mereka. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Harta seseorang Muslim itu tidak dihalalkan (bagi orang lain) selain dengan kerelaannya.” Rasulullah juga bersabda, “Harta, kehormatan dan darah seorang Muslim diharamkan ke atas Muslim lainnya” [HR Abu Daud & Ibnu Majah]. Di dalam al-Qur’anul Kareem, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...” [TMQ an-Nisa’ (4):29]. Tindakan mengenakan tol (cukai) adalah jelas merupakan satu tindakan di mana harta seseorang Muslim itu diambil secara paksa dari mereka dan perbuatan ini nyata-nyata haram di dalam Islam.

Orang-orang jahil sering melontarkan pertanyaan - jika tidak dipungut cukai, dari manakah negara akan memperolehi pendapatannya? Jika mereka ini benar-benar ikhlas di dalam pertanyaan, maka mereka sepatutnya belajar Sistem Ekonomi Islam (Nizamul Iqtisad Fil Islam) dengan betul dan benar (bukan mengikut acuan Kapitalis), yang mana mereka wajib merujuk kepada sistem ekonomi yang dijalankan oleh Rasulullah dan Khulafa’ Rasyidin. Insya Allah mereka akan dapati bahawa Islam telah lama menyelesaikan masalah ekonomi manusia dengan tuntas dan sempurna. Mereka akan dapati bahawa dalam ekonomi Islam, pendapatan negara diperoleh dari Anfal, Ghanimah, Fai', Kharaj, Jizyah, 'Usyur, Khumus, Rikaz dan beberapa sumber lain yang diizinkan syara’ termasuk Dharibah. Selain daripada harta yang diizinkan oleh Allah untuk mengambilnya, maka secara mutlaknya harta yang lain tidak boleh diambil (haram). Ini kerana harta seseorang Muslim itu tidak boleh diambil walaupun sedikit melainkan dengan cara yang hak mengikut ketetapan syara’, sepertimana yang telah ditunjukkan oleh dalil-dalil secara terperinci. Sementara itu tidak ada satu dalil pun yang menjelaskan bolehnya mengambil cukai daripada seorang Muslim selain daripada mekanisme yang telah ditetapkan oleh syara’.

Inilah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul dalam menjelaskan bentuk harta yang boleh dipungut dan yang tidak boleh dipungut daripada rakyat. Dalam permasalahan tol ini, secara mutlak, pungutan tol (cukai) adalah satu aktiviti yang diharamkan oleh syara’ tidak kira sama ada ianya dilaksanakan oleh negara ataupun oleh pihak swasta (syarikat konsesi). Ini kerana lebuh raya, jambatan dan sebagainya adalah termasuk infrastruktur negara yang wajib disediakan oleh negara dan dinikmati oleh setiap rakyat secara percuma. Tidak timbul persoalan bahawa mereka yang tidak mahu atau tidak mampu membayar tol boleh menggunakan laluan alternatif yang tidak dikenakan tol. Ini kerana, dalam pemenuhan tanggungjawab ini, syara’ tidak membezakan kelayakan mereka yang boleh menikmati kemudahan tersebut. Kaya atau miskin, mampu atau tidak masing-masing mempunyai hak yang sama untuk menikmati prasarana ini. Malah, membezakan penyediaan infrastruktur bagi orang-orang yang mampu dan tidak mampu hanyalah satu bentuk kezaliman, penindasan dan diskriminasi, malah ia akan menyuburkan nilai kasta di dalam masyarakat.

Kedudukan Baitul Mal & Dharibah

Baitul Mal adalah sebuah autoriti yang bertanggungjawab terhadap setiap pendapatan dan perbelanjaan negara yang menjadi hak kaum Muslimin. Oleh itu, setiap harta sama ada tanah, bangunan, bahan galian, wang atau barangan apa pun yang mana kaum Muslimin berhak ke atasnya mengikut hukum syara’, maka ia menjadi hak Baitul Mal (untuk diuruskan). Apabila suatu harta telah diambil, maka dengan penerimaan ini, harta tersebut akan dikategorikan sebagai hak Baitul Mal, tidak kira sama ada harta tersebut telah dimasukkan ke dalam tempat simpanan harta ataupun tidak. Ini kerana yang dimaksudkan dengan ‘Baitul Mal’ adalah suatu ‘autoriti’, bukan sahaja sekadar sebuah ‘tempat simpanan’. Jadi, keseluruhan hak harta yang perlu diuruskan bagi kaum Muslimin merupakan hak (atau autoriti) Baitul Mal.

Sesungguhnya Islam telah menjelaskan sumber pendapatan dan perbelanjaan Baitul Mal dengan terperinci. Rasulullah dan Abu Bakar adalah orang yang senantiasa memungut dan membelanjakan harta Baitul Mal untuk kepentingan kaum Muslimin, mengikut ketentuan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab pula, apabila Daulah Islam telah semakin besar dan jumlah orang yang memasuki Islam semakin ramai, beliau telah memperkemas dan mensistematikkan lagi kedudukan Baitul Mal demi untuk mengatur kemaslahatan kaum Muslimin dengan sebaik-baiknya. Di dalam mengurus ekonomi negara, pemerintah wajib terikat dengan hukum Allah di mana segala perbelanjaan yang perlu dikeluarkan dari Baitul Mal hendaklah sesuai dengan tuntutan syara’. Dalam menguruskan keperluan rakyat, syara’ telah mengklasifikasikan perbelanjaan Baitul Mal kepada dua; Pertama, keperluan yang dituntut dari Baitul Mal (yang mana perbelanjaannya mesti diambil daripada sumber-sumber tetap Baitul Mal yang dinyatakan tadi) dan kedua, keperluan yang dituntut daripada semua orang Islam yang mana negara diberikan hak untuk memungut sebahagian daripada harta orang-orang Islam untuk pemenuhannya. Pengambilan harta (dari orang Islam) inilah yang disebut sebagai dharibah (sejenis pungutan) yang dibenarkan oleh syara’ untuk dipungut oleh negara dan menjadi tanggungjawab negara untuk membelanjakannya dengan hak.

Perlu ditegaskan bahawa dharibah bukanlah ‘cukai’ sebagaimana yang sering disalahtafsir atau yang dijadikan hujah oleh mereka yang jahil untuk membolehkan cukai. Dharibah adalah satu bentuk ‘pungutan khas’ yang dikutip dari kaum Muslimin yang kaya/layak sahaja, itu pun hanya pada keadaan Baitul Mal mengalami defisit atau tidak cukup untuk melaksanakan apa jua kewajipan oleh negara. Tidak boleh memungut dharibah jika Baitul Mal negara masih mencukupi. Ia hanya dipungut di dalam keadaan negara yang amat terdesak (urgent) sehingga jika tidak dipungut, maka sebuah kewajipan akan terabai. Dharibah hanya boleh dipungut dalam keadaan-keadaan berikut sahaja, (i) Untuk memenuhi keperluan asas (makan/pakai/kediaman) orang-orang fakir dan miskin (ii) Untuk pembiayaan jentera pentadbiran negara agar negara tetap berfungsi sebagai pemelihara rakyat seperti gaji kakitangan dan prasarana pentadbiran (iii) Untuk penyediaan kemudahan awam seperti jalan raya, hospital, masjid, sekolah dan seumpamanya (iv) Untuk pemulihan situasi selepas rakyat ditimpa bencana alam seperti banjir, ribut taufan, gempa bumi, tanah runtuh dan seumpamanya (v) Untuk keperluan jihad fi sabilillah.

Dharibah bukanlah seperti cukai yang ada sekarang (dalam sistem ekonomi kapitalisme) kerana (i) Ia bersumberkan wahyu dan diambil dari hadis Rasulullah Sallahu 'alaihi wa Sallam dan juga Ijmak Sahabat (ii) Ia bukan sumber tetap pendapatan negara kerana ia dikutip hanya ketika Baitul Mal mengalami defisit serta berdepan dengan situasi yang kritikal sahaja dan ia tidak dikutip secara berpanjangan (iii) Ia hanya dikutip dari kaum Muslimin yang kaya/layak mengikut kadar yang ma’aruf sehingga mencukupi kadar yang diperlukan sahaja (iv) Ia diguna untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat/negara, bukan untuk kepentingan peribadi pemerintah ataupun kroni.

Berbalik kepada perbincangan tentang jalan raya sebagai sebuah prasarana awam, sekiranya satu lebuh raya dibina atas dasar untuk menambah jalan raya yang sedia ada sedangkan jalan raya alternatif masih boleh digunakan, maka hal ini mengikut ulama fikih, termasuk dalam kategori pertama, iaitu ia termasuk dalam kewajipan Baitul Mal yang hanya dilakukan bila tabungannya ada. Jika tabungan tidak ada atau tidak mencukupi, maka projek ini tidak akan dilaksanakan. Jika tabungan Baitul Mal tidak mencukupi dan jalan raya yang sedia ada masih boleh digunakan, namun jika negara tetap membina jalan raya yang baru dan mengenakan cukai kepada rakyat, maka negara sebenarnya telah merompak kekayaan rakyatnya dan ini adalah satu kezaliman. Jika lebuh raya yang ada tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang semakin banyak dan negara memandang bahawa demi kemaslahatan rakyat, rakyat perlu kepada lebuh raya baru, maka negara perlu membinanya dengan duit dari Baitul Mal. Dalam keadaan ini, jika Baitul Mal telah kehabisan wang, maka negara bolehlah memungut dharibah dari rakyat, tetapi hanya sekadar untuk mencukupkan perbelanjaan tadi sahaja, bukan untuk mengaut keuntungan atau menghisap darah rakyat. Tugas negara di sini hanyalah untuk menghilangkan kemudharatan rakyat, sesuai dengan hadis, “Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh memudharatkan” [HR Ibnu Majah dan Daruqutni]. Kewajipan ke atas negara adalah untuk mencabut/menghilangkan kemudaratan dari kaum Muslimin, bukannya ‘memudharatkan’ lagi kaum Muslimin dengan memungut cukai yang haram itu [Ringkasan dari kitab Nizhamul Iqtisad Fil Islam, Syeikh Taqajiyuddin an-Nabhani].

Diambil dari mykhilafah.com

2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum..

Dalam ekonomi Islam, pendapatan negara diperoleh dari Anfal, Ghanimah, Fai', Kharaj, Jizyah, 'Usyur, Khumus, Rikaz dan beberapa sumber lain yang diizinkan syara’ termasuk Dharibah.

sy mnta saudara dpt ulas tntg Ghanimah, rikaz dll ini semua..

Secara mtematik, berapa anggaran kasar(billion ringgit)yg Baitulmal boleh dapat dlm sebulan atau setahun untuk mnampung kperluan rakyat secara percuma termasuk hospital,pendidikan dll. sy hrp, dgn penjelasan secara matematik akn dpt mmbuka mata yg mnnunjukkan sistem ini mampu dan berkesan dlm pemerintahan kpd mereka2 yg x nmpak akn kehebatan system ini..

mohon pencerahan.. sekian

Anonymous said...

Assalamualaikum..

Saya minta saudara dapat mengulaskan ttg kedudukan Baitul Mal dalam sistem kewangan negara islam?