PUM gesa kaji undang-undang syariah elak diperlekeh
KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa kerajaan mengkaji semua Undang-undang Kanun Jenayah Syariah negara supaya menepati tuntutan syariat serta hukuman Islam sebenar serta tidak diperlekeh pihak tertentu.
Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Salleh Ahmad, berkata undang-undang Islam lebih adil kerana tidak menzalimi seseorang, sebaliknya lebih kepada mendidik dan memberi pengajaran, termasuk apabila membabitkan hukuman sebat.
Katanya, musuh Islam juga sentiasa mencari peluang memburukkan Islam dengan mendakwa undang-undang syariah seperti hukum sebat zalim dan ganas seperti isu hukuman rotan dikenakan ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno yang turut ditentang badan bukan kerajaan (NGO) yang digerakkan oleh orang Islam sendiri. "Kita (PUM) menggesa kerajaan kaji semula undang-undang (syariah) sedia ada kerana dari segi pelaksanaannya, ia sebenarnya belum cukup Islamik.
"Dalam Islam hukuman ke atas orang Islam melakukan kesalahan jenayah minum arak, minimum hukuman rotan ialah 40 kali bukan enam sebatan, tetapi bukan bertujuan mencederakan seperti sebatan mengikut undang-undang sivil," katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan hukuman syariah dan isu berhubung menghina Islam selepas Majlis Rumah Terbuka sempena Eidul Fitri anjuran PUM di Masjid al-Muhsinin di sini, semalam.
Mengenai tindakan pihak tertentu di Indonesia mahu melancarkan perang ke atas Malaysia dan membakar bendera negara ini, Salleh berkata tindakan itu hanya dilakukan kumpulan kecil saja yang tidak direstui kerajaan mereka. "PUM percaya golongan ulama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di republik itu juga tidak bersetuju dengan perbuatan itu kerana mereka menyedari ramai rakyatnya bekerja di Malaysia dan mendapat layanan baik," katanya.
Sumber: Berita Harian 10/10/09
Hanya Khilafahlah Yang Bersedia Menerapkan Undang-Undang Syariah
Suatu saranan dan kenyataan yang baik serta berani dari Persatuan Ulama Malaysia berkenaan isu sebatan rotan ke atas Kartika. Ya, memang benar bahawa hukuman 6 kali sebatan itu bukannya hukuman Islam terhadap kesalahan meminum arak. Hukuman 6 kali sebatan yang dijaja oleh “Mahkamah Syariah” yang ada di Malaysia hari ini sebenarnya adalah juga undang-undang kufur yang diluluskan dan disahkan oleh perlembagaan kufur Lord Reid. Hanya mereka yang takut kepada manusia dan tidak takut kepada Allah SWT sahajalah yang sanggup dan berani mengatakan bahawa 6 kali sebatan itu adalah hukum syariah. Amat berani mereka menyanggah ketetapan Allah SWT dan rasulNya. Islam melalui lisan nabinya telah menyatakan bahawa hukuman ke atas kesalahan meminum arak adalah sebanyak 40 sebatan dan melalui ijtihad para sahabatnya adalah sebanyak 80 kali sebatan. Dan tidak ada selain dari dua jumlah tersebut.
Sekali pandang, protes kumpulan tertentu seperti SIS terhadap hukuman sebat kepada Kartika itu seolah-olah ada kebenarannya. Inilah yang mungkin mendorong PUM menggesa pihak kerajaan mengkaji “undang-undang syariah” yang tak syariah itu. Namun, jika diselidiki dengan lebih mendalam kita akan dapat melihat bahawa SIS sebenarnya merupakan golongan yang benci hukum Allah. Mereka menentang hukuman sebat terhadap Kartika bukan kerana kekufuran hukuman (6 kali sebatan) ini, namun, hujah dan alasan yang mereka perjuangkan adalah “Hak Asasi Manusia” , walaupun Kartika sendiri telah redha dengan hukuman sebat tersebut. Sebagai umat Islam kita perlu menyedari bahawa selagi sistem kufur demokrasi menjadi asas dalam pemerintahan di kebanyakan negara umat Islam termasuklah Malaysia, maka selama itulah kita tidak akan dapat melihat penerapan hukum Islam yang sebenarnya dijalankan dalam kehidupan umat Islam. Untuk itu kita mengharapkan agar seruan dan gesaan PUM itu diperpanjangkan lagi dengan seruan agar pemerintah yang ada pada hari ini menegakkan kembali Khilafah kerana hanya Khilafahlah satu-satunya institusi yang akan bersedia dan mampu untuk menegakkan serta menerapkan sistem kehidupan Islam termasuklah hudud Allah. Kita mengharapkan agar PUM yang ada pada hari ini akan benar-benar memikul amanah untuk menjaga Islam sesuai dengan sabda Rasulullah SAW bahawa para ulama adalah pewaris kepada para nabi
“Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi. Para nabi tidaklah mewariskan wang dinar dan tidak pula wang dirham. Hanya saja mereka mewariskan ilmu. Maka barang siapa yang mewarisinya, berarti dia telah mendapatkan keuntungan yang sempurna". [HR. Ibnu Majah dan Ibnu Hibban].
Ayuh para ulama!! Kalian perlu bangkit untuk memimpin umat
Diambil dari www.mykhilafah.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment